PERUTUSAN HARI PEKERJA

Pekerja Amanah, Aspirasi Negara.

Pekerja adalah teras kemajuan sesebuah negara dan pekerja yang beramanah adalah aspirasi kita.

Nilai amanah juga adalah sangat penting dalam diri seseorang kerana ia adalah tuntutan dalam Islam.

Allah SWT berfirman dalam surah A l-Qasas, ayat 26 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang paling baik untuk engkau berikan kerja ialah orang yang kuat (al-Qawi) lagi amanah (al-Amiin).”

Perkhidmatan yang jujur dan amanah serta berdedikasi adalah penting untuk membangunkan negara.

Seseorang pekerja yang setia kepada negaranya tidak akan terlibat dalam perbuatan salah laku.

Dengan adanya pekerja yang beramanah, isu penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan dapat dielakkan.

Pembangunan negara tercinta ini adalah tanggungjawab yang kita pikul bersama.

Pada era globalisasi kini, kebanyakan keluarga memerlukan lebih ramai ibu bapa untuk keluar bekerja.

Kerajaan prihatin terhadap keluarga-keluarga nukleus sekarang di mana kedua ibubapa bekerja dan tidak ada saudara-mara (extended family) yang tinggal bersama membantu menjaga anak-anak.

Oleh yang demikian, beberapa inisiatif telah diusahakan oleh kerajaan untuk memberi ketenangan (peace of mind) kepada ibu bapa semasa bekerja, termasuk mengadakan taska di hampir setiap kementerian.

Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk menambah 50 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan Kerajaan ke arah meringankan bebanan ibu bapa yang bekerja.

Kerajaan dalam usaha memperkenalkan Waktu Kerja Anjal atau Flexible Working Arrangements (FWA) yang merupakan konsep aturan waktu bekerja yang memberikan peluang kepada pekerja untuk menentukan sendiri waktu kerja masing-masing.

Ini dapat membina jaringan antara majikan dan pekerja untuk meningkatkan keseimbangan kehidupan harian dan kerja (work-life balance).

Turut dilaksanakan adalah kebenaran pulang awal satu jam kepada pegawai wanita yang mengandung lima bulan dan ke atas.

Kemudahan ini juga dipanjangkan kepada suami yang merupakan pegawai Perkhidmatan Awam dan bekerja di lokasi yang berdekatan yang pulang bersama isterinya bagi membolehkan suami membantu isteri semasa dalam perjalanan.

Tempoh maksimum cuti bersalin bagi setiap kelahiran pula telah ditetapkan pada 90 hari.

Kerajaan akan terus berusaha untuk mewujudkan persekitaran pekerjaan yang mesra pekerja dan juga menangani isu-isu yang berbangkit.

Dua belas bulan yang lalu ini adalah ujian yang amat mencabar untuk kerajaan Pakatan Harapan.

Kita tidak dapat mengharunginya tanpa pekerja awam dan swasta.

Kita sedang berusaha sedaya upaya untuk membina Malaysia Baharu yang diimpikan.

Ayuh, marilah kita bersama merealisasikannya.

Selamat Hari Pekerja 2019.

Dikeluarkan oleh Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri

30 April 2019

PUTRAJAYA

Pin It on Pinterest

Share This
Skip to content